Psychology

Psychology

Selasa, 31 Ogos 2010

KESAHAN DAN KEBOLEHPERCAYAAN

Ujian Yang Baik Mempunyai Kesahan Dan Kebolehpercayaan Yang Tinggi. Mengapakah Ciri Tersebut Penting Dan Bagaimanakah Kesahan Dan Kebolehpercayaan Ujian Ditingkatkan?

Sistem penilaian memang tidak dapat dipisahkan daripada pendidikan. Setiap perancangan kurikulum mesti diikuti dengan penilaian. Kebanyakan penilaian yang diamalkan dinegara kita adalah penilaian berbentuk ujian. Mengikut Ebel (1979), sebenarnya pembina ujian menghadapi dua persoalan : pertama, untuk menentukan apa yang ingin diukur, dan kedua, membuat keputusan bagaimana mengukurnya. Sementara dari segi makna ujian pula Crombach (1970) telah memberikan satu definisi ujian yang agak luas, iaitu satu prosedur sistematik untuk memerhati tingkah laku seseorang dan memperihalkannya dengan bantuan skala bernombor, atau satu sistem berkategori.
Kenyataan di atas memberikan gambaran bahawa ujian bukan merupakan sesuatu yang boleh dilakukan begitu sahaja. Malah ianya memerlukan perancangan dan pengendalian yang sistematik. Bagaimana pula dengan penilaian? Penilaian mencakupi lebih luas dan lebih menyeluruh jika dibandingkan dengan ujian. Mengikut Popham (1975), penilaian pendidikan yang sistematik mengandungi satu tafsiran formal tentang nilai fenomena pendidikan. Secara lebih luas, penilaian pendidikan itu mencakupi aspek-aspek seperti hasil pengajaran, program pengajaran, dan matlamat ke arah mana usaha pengajaran dihalakan.
Dari sudut pengajaran, penilaian boleh didefinisikan sebagai satu proses sistematik untuk menentukan sejauh mana objektif pengajaran telah dicapai oleh para pelajar (Gronlund, 1981). Ini jelas menunjukkan bahawa penilaian adalah merupakan suatu cara atau alat bagi mengukur keberkesanan pengajaran di samping untuk menentukan sama ada objektif pengajaran boleh dicapai.

Sebagaimana yang kita ketahui, ujian atau peperiksaan adalah satu aspek penting dalam sistem pendidikan kita. Berbagai bentuk ujian bertulis boleh diadakan oleh guru dari semasa ke semasa, seperti ujian betul/salah, mengisi tempat kosong, mamadankan, ujian beraneka pilihan dan juga bentuk esei. Pada asasnya, semua ini bertujuan mendapatkan maklumat. Daripada maklumat yang didapati itu, guru dapat mengukur pencapaian murid, mengetahui kelemahan-kelemahannya , meramal keupayaannya, memilihnya untuk sesuatu tujuan, atau sebagainya. Walau apa pun format ujian yang hendak dibina, atau dipilih, pastikanlah bahawa ujian itu mempunyai ciri-ciri tertentu yang menjadikannya suatu ujian yang baik. Antara ciri-ciri penting ujian yang baik ialah seperti kesahan (validity) dan kebolehpercayaan (reliability).

Kesahan
Kesahan sesuatu ujian merujuk kepada sejauh mana ujian berkenaan dapat mengumpul maklumat berkaitan bidang yang ditetapkan. Dengan perkataan lain, sesuatu ujian itu dikatakan sah, sekiranya ujian berkenaan boleh mengukur sesuatu yang sebenarnya hendak diukur atau sepatutnya diukur.

Kesahan bermaksud kebolehan ujian mengukur apa yang sepatutnya diukur (Youngman & Eggleston, 1982; Sax & Newton, 1997). Kesahan merujuk kepada kesesuaian dan kekuatan interpretasi markat ujian dan lain-lain keputusan penilaian dengan merujuk kepada kegunaan tertentu alat ukur tersebut. Kesahan boleh dibuktikan melalui beberapa kaedah seperti kesahan isi (content validity), kesahan telahan (predictive validity), kesahan serentak (concurrent validity) dan kesahan gagasan (construct validity) (Fraenkel & Wallen, 1996).

Kesahan sesuatu ujian tidak dapat ditentukan secara langsung seperti mengukur ketinggian seseorang. Keputusan ujian, atau skor markah memberi gambaran sebenar atai tidak sebenar tentang apa yang hendak diukur. Oleh itu ia tidak dengan sendirinya sah. Kesahannya bergantung kepada beberapa jenis kesahan.


a) Kesahan isi (content validity)

Ini ialah kesahan yang terpenting bagi seseorang guru yang hendak menyediakan ujian. Isi ujian ditentukan dengan menilai apakah tujuan ujian itu diadakan, kandungan sukatan pelajaran, penelkanan yang diberi kepada tajuk-tajuk dalam sukatan pelajaran peringkat atau kategori objektif pelajaran bagi tiap-tiap tajuk. Bagi sebarang ujian bertulis maka sangat penting bagi guru supaya sentiasa menyedari tujuan utama ujian itu. Kemudian ia hendaklah memilih atau menyediakan item ujian-ujian yang sesuai. Jenis-jenis item pula bergantung kepada jenis pencapaian murid-murid, aras kesukaran, dan peringkat objektif pelajaran yang hendak diuji. Contohnya, item ujian akhir tahun (ujian sumatif) misalnya tertumpu kepada tajuk-tajuk tertentu, sedangkan tajuk-tajuk lain diabaikan, maka ujian itu dikatakan tidak sah dari segi isi kerana tidak meliputi sukatan pelajaran.

b) Kesahan telahan/ ramalan

Kesahan ramalan adalah berkait rapat dengan ujian meramal kebolehan atau kelayakan seseorang calon untuk menjalankan sesuatu tugas pada masa depan. Contohnya guru biasa mengadakan peperiksaan percubaan diperingkat sekolah sebelum murid-murid mengambil peperiksaan PMR, SPM, atau sebagainya. Berdasarkan pencapaian murid-murid ini maka kita dapat meramal kejayaan murid-murid dalam peperiksaan sebenar tersebut. Demikian juga bagi Ujian Kelayakan Latihan Perguruan (UKELP). Sekiranya calon-calon yang lulus dalam UKELP dan dipilih mengikuti kursus perguruan juga berjaya dan mendapat sijil atau diploma perguruan serta menjadi guru yang berkesan maka UKELP itu mempunyai kesahan ramalan yang tinggi.

c) Kesahan Semasa/Serentak

Kesahan semasa penting bagi guru merujuk pencapaian seseorang dalam sesuatu ujian itu selaras denagn pencapaian kemudian dalam suatu ujian yang serupanya. Sekiranya ujian kedua yang sama taraf dengan ujian yang pertama ditakbirkan tidak lama kemudian, pencapaian calon biasanya lebih baik daripada ujian pertama, kerana calon yang berkenaan telah memperolehi sedikit sebanyak pengalaman daripada ujian yang pertama.


d) Kesahan Gagasan
Kesahan gagasan amat penting diadakan untuk mengukur sejauh mana seseorang itu menunjukkan trait personaliti, tingkah laku, atau trait mental, seperti sifat peramah, bertanggung jawab, adil, introvert, bermotivasi, kreatif, cergas otak dan sebagainya. Semua ini merupakan idea atau gagasan psikologi perlu dianalisa untuk mengenal pasti proses-proses atau ciri-ciri yang dikaitkan dengan sesuatu trait agar item-item ujian yang khusus dan tepat dapat disediakan. Berdasarkan teori atau kajian ini, kita boleh membuat berbagai-bagai ramalan yang ada hubungannya dengan gagasan tersebut. Misalnya kita boleh menelah bahawa seseorang murid yang kreatif juga merupakan seorang yang imaginatif.

Meningkatkan Kesahan Dalam Ujian

a) Cara yang baik untuk meningkatkan dan memastikan kesahan sesuatu ujian ialah dengan menyediakan blue print, atau rancangan persediaan yang dinamakan Jadual Penentuan Ujian (JPU). JPU ini dapat memastikan kesahan isi ujian yang akan disediakan. Di mana dalam JPU guru hendaklah menetapkan tajuk-tajuk yang hendak diuji, peringkat objektif mengikut Taksonomi Bloom atau Taksonomi yang seumpamanya, bilangan soalan bagi tiap-tiap satu objektif dan tajuk. Penentuan objektif pelajaran ataupun aras-aras kemahiran bergantung kepada matapelajaran, tajuk-tajuk yang diuji serta peringkat kebolehan murid-murid yang menduduki ujian itu. Ini bermakna guru perlu meneliti dan memahami isi kandungan tiap-tiap tajuk dalam sukatan pelajaran.

b) Bagi meningkatkan kesahan gagasan ialah dengan mencari korelasi diantara markah pada ujian yang dibentuk dengan markah ujian tentang trait yang diperkatakan itu. Hal ini bermakna bahawa jikalau kita mahu menentukan kesahan gagasan untuk satu ujian yang dikatakan mengukur semangat berdikari, maka kita terpaksa mencari korelasi markahnya dengan satu markah bagi ujian lain yang mengukur trait yang sama.

c) Kesahan gagasan boleh ditingkatkan dengan mencubakan ujian ini kepada satu kumpulan yang diketahui mempunyai trait itu. Sifat hormat menghormati boleh dikatakan sangat tinggi dikalanganm ahli-ahli agama. Ataupun sifat mencari keuntungan yang maksimum terdapat dikalangan peniaga-peniaga. Oleh itu sesuatu ujian itu bolehlah ditadbirkan kepada golongan-golongan yang dikatakan mempunyai sifat ataupun trait yang dikehendaki itu. Jika markah kumpulan itu tinggi maka dapatlah dikatakan yang ujian itu mempunyai kesahan gagasan yang tinggi.

d) Dengan menjalankan satu ekperimen dan membuat ujian detik-detik startegik di dalam ekperimen itu. Ini bermakna kesahan berasaskan pendirian yang keadaan mengubah sesuatu trait itu dapat diwujudkan. Keadaan yang berlainan itu memberi kesan kepada trait seseorang itu. Umpamanya sifat putus asa akan bertambah serius jikalau seseorang itu menghadapi kegagalan demi kegagalan. Oleh itu untuk mendapatkan kesahan bagi satu ujian yang mengukur trait putus asa ini, maka ujian ini bolehlah diberi kepada satu kumpulan yang dimasukkan ke dalam satu ekperimen apabila keadaan dikelolakan supaya mereka yang dieksperimenkan itu mengalami kegagalan berturut-turut. Jikalau markah pada ujian itu menunjukkan pertambahan dari satu masa ke satu masa yang berikutnya maka dapatlah dikatakan yang ujian itu mempunyai kesahan.

e) Langkah utama bagi mendapatkan kesahan ini ialah menentukan kriteria tentang apa yang dikatakan kemampuan atau kejayaan di dalam sesuatu perkara yang diramalkan itu. Umpamanya perlu diketahui apakah ciri-ciri yang ada pada jurutaip yang dikatakan baik itu ataupun apakah ciri-ciri kejayaan di dalam pelajaran di sekolah menengah. Jurutaip yang baik mungkin dapat menaip sebanyak 80 perkataan dalam satu mionit, mengetahui semua format surat menyurat, dapat mengeja dengan tidak membuat salah lebih daripada 2% daripada perkataan yang terdapat pada sesuatu kerja yang dikendalikan, dapat menaip terus menerus dalam jangkamasa 1 jam, dan berbagai- bagai lagi. Bagi kejayaan dalam pelajaran sekolah menengah pula, mungkin perkara- perkara yang penting ialah mendapat markah tidak kurang daripada 60% di dalam tiap-tiap ujian yang diambil, menolong rakan sebaya di dalam hal-hal pelajaran di sekolah dan mengambil peranan aktif semasa di bilik darjah.

f) Cara yang ideal bagi meningkatkan kesahan ialah mencari korelasi diantara ujian ayang diberi sebelum calon-calon itu melalui pengalaman yang berkenaan dengan perlakuan yang di dalam konteks kriatiria pada akhir pengalaman itu. Kesahan ujian itu boleh diterima jikalau didapati calon yang tinggi markah dalam ujian itu mencapai prestasi yang dikehendaki di dalam kretiria itu, dan calon yang rendah markahnya tidak menunjukkan prestasi di dalam kretiria itu.


Kebolehpercayaan
Salah satu daripada kriteria tersebut di atas ialah reliabiliti (kebolehpercayaan). Menurut Mokhtar (1995), reliabiliti ujian boleh disebut sebagai darjah ketekalan antara dua pengukuran terhadap sesuatu benda, sesuatu ciri, atau sifat seseorang.
Reliabiliti adalah istilah yang keliru di sini dan setengah penulis cuba mengganti kannya dengan ‘consistency’. Walau bagaimana pun, persoalan asas reliabiliti adalah: Adalah penilai lain setuju dengan interpretasi tingkah laku pelajar? Tetapi variasi yang mengganggu pula adalah: Adakah saya menterjemah tingkah lakunya dalam keadaan yang sama jika saya melihatnya lagi? (Rowntree, 1977). Secara umum, kesilapan angkubah pengukuran adalah banyak terdapat dalam skor ujian dalam pendidikan (atau, dengan kata lain, ujian pendidikan cenderung kepada tidak reliabel) melainkan kerja yang lebih berhati-hati dilakukan bagi menentukan aras reliabiliti yang diterima (Martuza, 1977). Ini menunjukkan bahawa reliabiliti bukan sahaja skor yang sama didapati walau pun orang lain yang menilainya, tetapi jika kita harus memberikan skor yang sama juga walau pun kita menilai pada masa yang berbeza.
Fakta mengenai reliabiliti rendah memeriksa kertas peperiksaan secara individu telah ditunjukkan oleh Dicker (1973), yang menemukan bahawa pekali korelasi hanya 0.46 apabila 24 guru memeriksa sekali dan kemudian diperiksa semula selepas tiga bulan. Aschersleben (1971) menganalisis pemeriksaan oleh 24 guru ke atas 623 pelajar dalam empat ujian matematik yang bersiri dan empat ujian ‘dictation’. Beliau mendapati kebanyakan korelasi adalah di bawah 0.60, dengan kertas matematik menunjukkan, secara purata, nilai lebih kecil (Ingenkamp, 1977). Ini menunjukkan bahawa pemeriksaan seseorang pemeriksa bukan sahaja tidak tekal tetapi amat berbeza di antara seorang pemeriksa dengan pemeriksa lain. Dengan kata lain pemeriksaan mereka mempunyai reliabiliti yang rendah.
Soalan yang dibina jika tidak mempunyai reliabilti atau mempunyai reliabiliti rendah tidak akan dapat menggambarkan pencapaian pelajar dan seterusnya akan menjadikan sistem penilaian yang sia-sia. Oleh itu para pendidik perlu berhati-hati dalam membina alat penilaian.
Kebolehpercayaan sesuatu ujian merujuk kepada ketekalan, ketepatan, dan kebolehbergantungan ujian berkenaan. Ini bermaksud sesuatu ujian yang boleh dipercayai akan menghasilkan maklumat yang tekal (merujuk kepada beberapa pentadbiran ujian yang telah dijalankan), tepat seperti yang sepatutnya serta boleh diterima pakai tanpa keraguan.
Pada kebiasaannya , sesuatu ukuran itu tidak lepas daripada ralat (error). Ini amat ketara dalam prestasi fizikal. Jauh lompatan seseorang misalnya, tidak sentiasa sama kerana pengaruh halaju angin kedaan fizikalnya, kedaan atau jenis kasut yang dipakai, latihan, larian atau sebagainya. Sedangkan berat seseorang pun boleh berubah dalam satu hari disebabkan oleh pakaiannya, kenyang laparnya dan lain-lain.



Kepentingan Kebolehpercayaan
Apabila kita menilai ataupun menguji murid-murid, kita akan menyoal diri kita sendiri adakah jawapan yang diberikan itu tidak berubah-ubah dan dapat mencerminkan kemahiran, kebolehan dan nilai pada murid itu. Jika benar maka ujian yang kita berikan itu bolehlah kita anggapkan sebagai stabil. Ujian yang stabil ialah ujian yang dapat memberikan market yang sama apabila murid itu mengambil ujian itu beberapa kali di dalam satu jangka masa yang pendek. Katakan kita menyediakan satu ujian penggal matematik. Untuk menentukan samada ujian itu stabil atau tidak , kita boleh memberikan dua kali ujian kepada murid kelas kita. Biarkan jarak di antara ujian pertama dengan yang kedua itu lebih kurang satu ataupun dua minggu. Jikalau markah bagi tiap-tiap murid di dalam ujian pertama itu lebih kurang sama dengan markah yang diperolehi untuk ujian kedua , maka ujian itu bolehlah dianggap stabil ataupun boleh dipercayai.
Kebolehpercayaan ujian sangat penting oleh kerana kita tidak mahu markah yang diperolehi itu dalah disebabkan oleh nasib. Kita mahukan markah itu datangnya daripada kemampuan murid itu sendiri. Kebolehpercayaan adalah satu perkara yang senang dilihat didalam ukuran seperti berat, panjang, tinggi dan lain-lain yang berbentuk maujud. Sesuatu ukuran panjang itu sudah tentu memberi bacaan yang sama jikalau barang yang sama diukur berulang kali. Begitu juaga dengan sesuatu penimbang berat itu sudah tentu memberi bacaan yang sama jikalau kita menimbang benda yang sama berulangkali. Bacaan yang berlainan akan menimbulkan syak wasangka kepada kita oleh kerana alat-alat sukatan itu tidak lagi stabil.
Bagi ujian ataupun penilaian yang kita sediakan , kebolehpercayaan adalah satu ciri yang patut kita pastikan sebagai dapat diterima. Jika tidak, penilaian yang kita lakukan itu tidak akan memberi peluang yang cukup kepada murid-murid membuktikan yang mereka mempunyai kemahiran, pengetahuan dan sikap yang dinilaikan itu. Satu peluang sahaja sudah tentu tidak mengcukupi. Umpamanya kita mahu menguji samada murid itu dapat menolak nombor-nombor tidak lebih dariapada 20 dan dengan bertangan. Kita tidak hanya memberikan satu soalan sahaja..Kita akan mengemukakan beberapa soalan yang dapat menguji kemahiran yang sama. Jika murid itu dapat peluang menjawab sebilangan besar soalan-soalan itu , maka baharulah kita berpuas hati dan menerima hasilnya sebagai mencerminkan keupayaan murid itu . Dengan kata lain, kebolehpercayaan pada ujian ini ialah untuk kita memastikan yang ujian atupun alat penilaian itu memberi peluang kepada murid mengemukakan jawapan yang mencerminkan keupayaannya dan bukanlah disebab kan oleh nasib.

Faktor-faktor Yang Mempengaruhi Kebolehpercayaan
Panjang pendek ujian itu boleh mempengaruhi keutuhan. Biasanya, semakin panjang ujian maka semakin tepat skornya kerana semakin kurang pergantungan kepada tekaan atau kebetulan. Demikian juga ujian yang bersifat objektif yang mempunyai keutuhan yang lebih tinggi kerana tidak terdedah kepada berbagai-bagai interpretasi. Ujian yang sah juaga biasanya utuh, tetapi ujian yang utuh tidak semestinya sah. Skor yang konsisten tidak semestinya mengukur apa yang hendak diukur. Item-item ujian hanya merupakan sampel bagi bidang yang diuji . variasi dalam sampel mungkin terdapat dalam dua ujian yang setara bentuknya. Hal ini merupakan satu lagi punca ralat.
Oleh kerana guru yang membina dan mentadbir ujian kepada murid-murid, maka perhubungan guru murid yang baik biasanya akan menambah keutuhan keputusannya. Keadaan fizikal dan mental yang positif, azam dan motivasi, galakan guru, kebiasaan dengan format ujian juaga akan memberi kesan yang positif terhadap kebolehpercayaan.
Perbezaan skor munkin timbul lantaran perbezaan cara ujian itu ditadbirkan. Untuk meningkatkan kebolehpercayaan , arahan-arahan mestilah tepat dan jelas. Murid-murid haruslah diberi masa yang cukup, terutama dalam ujian daya (power test). Mereka mestilah diawasi dengan teliti semasa ujian. Kadang-kadang kebolehpercayaan ditentukan dengan cara uji-ulang (retest) . Sebarang manfaat yang didapati oleh murid-murid daripada ujian pertama akanmengurangkan kebolehpercayaan. Contohnya dalam ulang uji murid-murid mungkin lebih biasa dengan format , atau lebih faham dengan item-item ujian. Oleh itu, mereka mendapat skor yang lebih tinggi. Hal ini menunjukkan betapa perlunya penjelasan yang sempurna sebelum ujian pertama dimulakan.
Keadaan persekitaran boleh mempengaruhi murid-murid dan skor mereka. Persekitaran yang sesuai, seperti kerusi meja yang selesa , ruang dan cahaya yang cukup , ventilasi yang baik, akan menambahkan kebolehpercayaan, manakala keadaan hangar bingar, misalnya akan menganggu konsentrasi murid-murid dan menjejaskan kebolehpercayaan ujian.
Apabila sesuatu ujian itu bersifat subjektif , biasanya markah yang diberi untuk jawapan yang sama adalah berbeza mengikut pemeriksa, walaupun skim permarkahan ada disediakan. Malahan, penilaian seseorang pemeriksa mungkin berubah mengikut masa dan keadaan. Perkara ini tidak berlaku dalam ujian objektif, kerana semua responnya adalah tepat. Mana-mana pemeriksa akan memberi markah yang sama untuk respon yang sama. Oleh itu, keobjektifan merupakan satu syarat bagi keutuhan.

Meningkatkan Kebolehpercayaan Dalam Ujian

Pada lazimnya , adalah sangat sukar bagi guru untuk membentuk satu ujian yang mempunyai ciri kebolehpercayaan yang tinggi. Ini adalah kerana pencapaian murid dalam situasi yang berlainan akan dipengaruhi oleh factor-faktor berlainan seperti bilangan soalan, emosi dan kesihatan calon, keadaan persekitaran dan cara memeriksa. Oleh itu untuk meninggikan ciri kebolehpercayaan dalam sesuatu ujian , guru harus mengurangkan segala punca perubahan faktor-faktor tersebut.

Faktor pertama ialah keadaan tempat murid-murid itu mengambil ujian. Keadaan yang tidak selesa menyebabkan murid-muird tidak dapat menjawab seperti yang selalu ditunjukkan. Jika bilik itu bising dan panas umpamanya , muird tidak akan dapat menjawab soalan dengan sebaik-sebaiknya. Jika murid itu tidak sihat ketika mengambil ujian , maka jawapannyapun tidak sebaik yang dapat ditunjukkannya jikalau dia di dalam keadaan sihat. Oleh itu , guru haruslah memastikan yang keadaan tempat murid itu semasa mengambil ujian adalah baik

Faktor kedua ialah kejelasan yang terdapat pada arahan dan item-item ujian itu. Arahan dan item-item yang kurang jelas boleh menimbulkan interpretasi yang berlainan dariapada muri-murid. Oleh itu semasa menyediakan ujian ataupun penilaian , guru seharusnya memastikan yang arahan dan item-item, sama ada dalam bentuk kenyataan, gambar dan lain-lain lagi itu jelas.

Faktor ketiga berkait dengan panjangnya ujian ataupun penilaian itu. Ujian yang banyak itemnya itu selalunya lebih stabil oleh kerana guru berpeluang menyoalnya beberapa kali. Sebaliknya, ujian yang banyak item itu memakan masa yang panjang. Murid yang rendah umurnya sudah tentu tidak dapat memberi tumpuan yang dikehendaki. Kita tahu lama masa yang dapat ditumpukan oleh murid terhadap sesuatu itu berbeza. Walau bagaimanapun, murid di peringkat sekolah rendah mempunyai tumpuan yang terhad. Mereka cepat jemu dan dengan itu tidak akan dapat menjawab soalan-soalan yang dikemukakan. Bagi mengelakkan perkara ini daripada berlaku, guru seharusnya menyediakan ujian yang tidak terlalu memakan masa yang panjang. Guru juga boleh memenggalkan ujian guru untuk diberikan beberpa kali.

Faktor keempat ialah, pemeriksaan dan pemarkahan. Ujian objektif tidak menimbulkan masalah. Tetapi ujian ataupun penilaian yang berkaitan dengan sikap, nilai dan juga amali sukar diperiksa dan diberikan markah secara objektif. Masalah ini sering berlaku di dalam ujian-ujian terbuka yang guru lakukan. Di dalam pemerhatian juga, guru dapati yang pemarkahan sukar diberi dengan tepat. Bagi mengelakkan perkara-perkara

ini, guru harus menyediakan satu skim pemeriksaan dan pemarkahan yang jelas dan kita patuhi pada skimini apabila membuat pemeriksaan dan pemarkahan.

Faktor kelima dalam meninggikan ciri kebolehpercayaan dalam sesuatu ujian ataupun penilaian ilah dengan memberikan bilangan soalan yang berpatutan. Biasanya semakin bilangan solan bertambah, maka semakin tepat pencapaian murid itu., kerana bilangan soalan ditambah akan dapat mengurangkan peluang untuk murid meneka.

Penutup

Isu kesahan dan kebolehpercayaan adalah amat penting dalam pembinaan sesuatu alat ukur sebelum boleh di gunapakai. Walaupun sesuatu alat ukur yang digunakan telah pernah dipakai oleh penyelidik terdahulu, dan telah teruji kebolehpercayaan dan keesahannya, namun alat ukur tersebut masih perlu diuji rintis semula kerana inferens yang diperolehi hanya sesuai untuk tujuan dan sampel kajian tertentu sahaja


Bibliografi


1. Krynock, K. & Robb, L. (1996). Is problem-based learning a problem for your curriculum? Illinois School Research and Development Journal, 33(1), 21 – 24.
2. Lee Shok Mee dan Mook Soon Sang (1989). Pengujian dan penilaian dalam pendidikan, Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman
3. Mohamad Najib Abdul Ghafar. (1999). Penyelidikan pendidikan. Skudai: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.
4. Mohd. Majid Konting. (1998). Kaedah penyelidikan pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.
5. Mokhtar Ismail (1995).Penilaian di bilik darjah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.
6. Yap Yee Khiong et al. (1985). Pengukuran dan penilaian dalam pendidikan. Selangor Darul Ehsan: Longman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan