Psychology

Psychology

Selasa, 21 September 2010

Psikologi

1.0        PENGENALAN.
Kajian Kes
John Williams mengalami masalah pening, keletihan dan kadang-kala pengsan. Berdasarkan pengetahuannya, dia mengalami hypertensi atau tekanan darah tinggi melalui keterangan yang diberikan oleh doktor. Selepas mendapat tahu akan tahap kesihatannya, dia telah menjangkakan sejak awal lagi bahawa usia sepertinya akan mengalami masalah kesihatan. Walaupun begitu, dia masih berasa bimbang akan masa depan kerjaya dan sumber kewangan untuk diri dan keluarganya.
Sejarah Sosial
John Williams merupakan kanak-kanak yang dibesarkan dalam keluarga kelas pertengahan Afrika Amerika di Atlanta. Bapanya seorang peguam yang berjaya manakala ibunya merupakan guru muzik di sekolah tinggi. Kehidupannya sewaktu kecil sungguh manis dan dia mempunyai ramai kawan. Dia mempunyai banyak kelebihan sama ada dalam bidang pelajaran mahupun dalam bidang sukan. Disebabkan kelebihan yang baik dalam bidang pelajaran, maka dia diterima masuk ke Kolej Harvard. Dia merupakan satu-satunya pelajar kulit hitam yang belajar di kolej tersebut. Semasa berada di kolej, dia menyertai berbagai aktiviti termasuklah diterima untuk menyertai kelab kolej yang mana kesemua ahli kelab tersebut terdiri dari kalangan berkulit putih. Namun, pada masa yang sama berlakunya konflik dimana dia berasa sangat curiga dengan keadaan pelajar dikolej berkenaan yang memandang serong tentangnya. Dia menerima pelawaan untuk menjadi ahli kelab tersebut kerana bagi memenuhi keinginan ayahnya yang sentiasa meletakkan harapan yang tinggi terhadapnya.
Semasa berada di kolej, dia sering mengambil pil aspirin (sejenis dadah) yang merupakan tabiatnya semenjak dia mula masuk ke kolej tersebut bagi menghilangkan sakit kepalanya ekoran daripada kerisauan yang dialami. Dia berjaya menamatkan pengajiannya dan berjaya dalam bidang yang diambil sepertimana yang telah dijangkakan oleh keluarga terutama bapanya yang amat berharap John berjaya menjadi seorang  peguam sepertinya. Dia telah berkahwin dengan  seorang wanita Afrika Amerika dari keluarga yang terkenal tetapi dia berasa tidak gembira dengan perhubungan tersebut kerana terpaksa untuk menjadi yang terbaik dan sempurna di mata isterinya itu. Perubahan yang jelas kelihatan ialah pada masalah hypertensinya. Isterinya sering memaksa dia menjalani rawatan kesihatan, sesuatu yang sering dielakkannya sejak dikolej dahulu.
Doktor menyatakan bahawa tahap tekanan darahnya telah meningkat yang menjadi penyebab kepada masalah kerisauan yang dialaminya. Isterinya tidak tahu apa yang dilakukan telah memberi tekanan yang keterlaluan kepada John. Semasa dia bekerja di firma guaman, dia cuba untuk masuk campur dalam hal yang berkaitan dengan masalah peperangan di Vietnam, tetapi dia berasa takut akan kehilangan kerja kerana masalah diskriminasi yang berlaku antara orang kulit putih dengan orang kulit hitam.
Selain itu, dia juga berasa bersalah disebabkan tidak dapat membantu, namun dia cuba untuk memberi sumbangan melalui bantuan kewangan bagi menghilangkan rasa bersalahnya itu tetapi tidak juga berkesan.  Dia membuat keputusan untuk kembali ke tempat asalnya iaitu di Atlanta dan meninggalkan dunia kulit putih. Namun, ayahnya mengingatkannya agar tidak berbuat demikian kerana ia memberi pandangan yang negatif oleh masyarakatnya sendiri yang mengaggap dirinya sebagai role model. Hal ini telah memberi kesan kepada masalah kesihatannya sehinggalah dia berumur 40 tahun yang mana penyakit ini (tekanan) dilihat semakin ketara.

DEFINISI KEBIMBANGAN (ANXIETY)
Kebimbangan berdasarkan pengertian umum adalah suatu perasaan takut akan sesuatu perkara yang mana  perkara tersebut belum lagi berlaku. Menurut Drever (1952), kebimbangan adalah perasaan takut yang kronik dan kompleks dan ia wujud dalam pelbagai jenis kecelaruan mental dan saraf. Manakala Jersild (1960) menyatakan, kebimbangan adalah tindak balas keseluruhan pada bahaya yang subjektif. Altrocchi (1980) menyebut berdasarkan pandangan ahli psikoloogi mentakrifkan kebimbangan sebagai perasaan yag dirasai seseorang semasa ketiadaan sebarang bahaya luaran yang dikenalpasti dan ia hanya sebagai tindak balas terhadap tindak balas dalaman yang tidak realistik. Diagnostic and statistical manual of mental disorders (DSM) edisi ke-tiga, pula mentakrifkan kebimbangan sebagai gangguan yang pradominan atau ia dialami jika individu cuba menguasai simptom-simptomnya.
          Kebimbangan juga dapat dianggap sebagai satu petanda bahawa bahaya akan berlaku. Namun, bagi beberapa masalah psikologi kanak-kanak dan remaja mendapati masalah kebimbangan tidak menunjukkan ia berkaitan dengan bahaya secara fizikal. Jordan (1968) dan Bambers (1979) meyatakan terdapat dua konsep yang memainkan peranan penting dalam bidang psikologi klinikal adalah kebimbangan dan ketakutan. Namun, maksud sebenar  kedua-dua istilah ini masih lagi tidak jelas.

DEFINISI KECELARUAN KEBIMBANGAN UMUM (GAD)
Kecelaruan jenis ini dikaitkan dengan ciri-ciri kebimbangan dengan suasana kehidupan kewangan, anak-anak dan hubungan sosial. Seseorang yang menghidapi masalah ini berasa seolah-olah terapung-apung sebagaimana yang dijelaskan oleh Freud (Rapee,1991). Kanak-kanak yang menghidap kecelaruan ini selalunya bimbang pada prestasi akedemik, sukan dan aspek-aspek sosial persekolahan yag lain. 

2.0     SIMPTOM- SIMPTOM KEBIMBANGAN
Berdasarkan kepada DSM-III daripada American Psychiatric Association (APA) pada tahun 1979, terdapat empat simptom-simptom kebimbangan iaitu pertama ketegangan pada saraf  motor seperti tidak dapat bertenang, menggigil dan mengalami ketegangan. Kedua, hiperaktiviti autonomik seperti pening, degupan jantung yang kencang dan kuat berpeluh. Ketiga, sentiasa berasa cemas, gelisah, memperlihatkan dan memikirkan perkara yang menyebabkan ketegangan. Keempat pula ialah terlalu memberi perhatian terperinci dengan cara mengawasi segala gerak laku disekelilingnya.
Menurut Lief (1967) di dalam Bambers (1979) simptom-simptom kebimbangan merujuk kepada bukti-bukti fisiologi yang membezakan antara ketakutan dan kebimbangan. Hal ini demikian, ketakutan merujuk kepada reaksi parasimpatetik atau trophotropik adalah manisfestasi klinikal yang dominan seperti penurunan tekanan darah, denyutan jantung dan juga diselubungi dengan perasaan lemah. Sementara, kebimbangan pula merujuk kepada sensitiviti dan respon kedua belah sistem neoro-endokrin autonomi bertindak pantas secara serentak dan manifestasi klinikalnya bergantung pada corak kebimbangan individu tersebut.
Manakala, menurut Nevid (2000) membahagikan simptom-simptom kebimbangan kepada tiga bahagian iaitu simptom-simptom fizikal, tingkah laku dan kognitif. Simptom- simptom fizikal kebimbangan adalah seperti degupan jantung yang deras, tekak ataupun mulut menjadi kering, sukar untuk berkata, otot- otot menjadi tegang dan kadang kala penghidap mendapat cirit-birit. Manakala, simptom-simptom tingkah laku kebimbangan pula adalah seperti tingkah laku menghindar atau mengelak, bergantung pada orang lain dan juga cuba untuk menganggu orang lain. Sementara itu, simptom-simptom kognitif kebimbangan pula adalah seperti risau pada sesuatu, terlalu sensitif pada sesuatu, sukar untuk  memberi tumpuan pada sesuatu, fikiran sentiasa berkecamuk dan sentiasa berasa terancam oleh individu atau suasana yang dihadapi.
Dalam kajian kes John Williams pula, antara simptom-simptom yang terdapat pada masalah John ialah dia mengalami sakit kepala, keletihan dan cepat marah yang berlaku pada masa sekarang. John juga mengalami sakit kepala sejak dia memasuki universiti lagi di mana dia sering mengambil aspirin untuk melegakan sakit kepalanya itu. Pengambilan pil aspirin telah menjadi satu amalannya apabila dia mengalami sakit kepala yang melampau. John juga mengalami kebimbangan yang berlebihan terhadap kehidupan dan perhubungan psikososialnya semasa di universiti dan keadaan persekitarannya sekarang. Kebimbangan ini menyebabkan John sentiasa berada dalam keadaan yang tidak tenang memikirkan kehidupanya. Kebimbangan John juga turut bertambah apabila ibu bapa John menaruh harapan yang tinggi untuk melihat kejayaan John dalam bidang yang diambilnya.

3.0     PUNCA- PUNCA KEBIMBANGAN
Punca punca berlakunya kebimbangan dapat dijelaskan melalui beberapa faktor yang menimbulkan kecelaruan kebimbangan seperti faktor-faktor biologikal iaitu neurobiologi, biological dispositions atau keadaan yang mudah dipengaruhi oleh biologikal dan juga fisiologi.
          Menurut Nevid (2000), terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya kecelaruan kebimbangan antaranya ialah faktor tingkah laku, persekitaran dan sosial, biologi, kognitif dan emosi, dan juga faktor biologikal. Menurut Mowrers (1948) di dalam Nevid (2000) terdapat dua model faktor tingkah laku iaitu pelaziman klasik dan pelaziman operan yang terlibat dalam menimbulkan kebimbangan jenis fobia. Komponen ketakutan fobia diperolehi akibat pelaziman klasik. Ini bermakna, objek- objek dan persekitaran yang biasa dapat membangkitkan perasaan takut jika digabungkan dengan rangsangan yang tidak disukai. Sebagai contoh, seorang kanak- kanak yang takut dengan salakan anjing boleh mengalami fobia pada anjing. Selain itu juga, kurangnya peluang bagi menghilangkan ketakutan juga boleh menyebabkan kebimbangan akan berkekalan. Oleh itu, menjauhi rangsangan ketakutan sudah diperkukuhkan secara negatif oleh perasaan dapat melepaskan diri daripada kebimbangan. Menjauhi rangsangan yang mendatangkan fobia walaupun mengurangkan kebimbangan sebenarnya memperkukuhkan secara negatif tingkah laku menghindar itu.
Dalam kes John Williams, kebimbangan John adalah pada perasaannya samada untuk menyertai kelab orang berkulit putih atau tidak kerana selama ini terdapat diskriminasi kaum antara orang kulit putih dengan orang kulit hitam. Ini menyebabkan John mempunyai perasaan kebimbangan atau takut untuk memasuki kelompok orang putih tersebut sedangkan dia adalah seorang yang berkulit hitam.
          Selain itu, punca yang menyebabkan berlakunya kebimbangan adalah disebabkan oleh faktor persekitaran dan sosial. Menurut perspektif pelaziman klasik, pengalaman traumatik berfungsi sebagai rangsangan tidak terlazim yang kemudiannya berpasangan dengan ransangan neutral seperti bunyi, bau, dan penglihatan yang digandingkan dengan pengalaman traumatik.  Contohnya seperti suasana di medan peperangan ataupun keadaan persekitaran semasa seseorang itu dirogol atau dirompak.
Selain itu juga, ahli teori pembelajaran juga mendapati pemerhatian pada perasaan takut orang lain berperanan dalam menimbulkan ketakutan. Ini boleh berlaku semasa memerhatikan dan menerima maklumat negatif sama ada melalui pendengaran ataupun pembacaan berkaitan dengan sesuatu rangsangan yang menakutkan juga boleh menimbulkan fobia. Sementara itu, kekurangan sokongan sosial boleh menimbulkan kebimbangan.
Wood Rachman (1994) telah mencadangkan satu pandangan bagi memahami kebimbangan. Mereka berpendapat bahawa individu yang mengalami kebimbangan umum melihat dunia sebagai satu tempat yang mengancam keselamatannya dan melihat tempat yang menjamin keselamatannya sangat terhad. Perasaan kehilangan sumber yang menjamin keselamatannya seperti pasangan yang sentiasa membantu, meningkatkan lagi kebimbangan dan mengundang perasaan bagi mencari sumber lain yang menjamin keselamatannya.
          Sementara itu, dalam faktor biologi terdapat dua faktor lagi yang mempengaruhi dalam menimbulkan kebimbangan yang pertama ialah faktor genetik. Pelbagai kecelaruan kebimbangan seperti fobia sosial, fobia khusus dan kecelaruan obsesif- kompulsif cenderung berlaku dalam lingkungan ahli keluarga yang sama (APA, 1994). Namun demikian, kaitan kekeluargaan tidak semestinya bermaksud kecelaruan ini berpunca daripada asal genetik kerana keluarga juga berkongsi persekitaran yang sama.
Kajian yang dilakukan pada pasangan kembar perempuan menunjukkan, faktor genetik berperanan penting menyebabkan kepada kebanyakan jenis kebimbangan. Faktor yang kedua dalam biologi ialah gangguan pada sistem saraf semenjak lahir ataupun kemalangan. Penglibatan komponen fizikal yang kuat pada kecelaruan panik mendorong para pengkaji bahawa serangan ini mempunyai landasan biologinya yang tersendiri, yang berkemungkinan membabitkan kegagalan otak berfungsi.
Menurut Donal klein di dalam Nevid (2000), telah mencadangkan bahawa kegagalan otak bertindak balas pada masalah sesak pernafasan berperanan dalam menimbulkan kecelaruan ini. Klein menjangkakan, individu yang mempunyai sistem amaran saraf yang luar biasa mendorong kepada simptom- simptom panik seperti sesak nafas, pening kepala, kepenatan, peningkatan kadar denyutan jantung, menggeletar dan rasa panas sejuk pada anggota tubuh badan. Dalam kes John Williams pula boleh dilihat melalui penyakit yang dihidapi olehnya iaitu hypertention. Penyakit yang dihidapi oleh John sedikit sebanyak menyebabkan kebimbangan terhadap dirinya sendiri. John mengalami kebimbangan apabila dia tidak boleh menyembunyikan penyakitnya yang boleh menampakkan kesan- kesan fizikal yang nyata.
          Faktor kognitif dan emosi juga merupakan salah satu punca yang menyebabkan berlakunya kebimbangan. Antara faktor kognitif dan emosi ialah seperti konflik psikologi yang tidak terlerai. Menurut perspektif psikodinamik, kecelaruan kebimbangan dilihat sebagai neurosis. Kebimbangan yang dialami dalam neurosis membayangkan satu perasaan yang tidak dapat diterima oleh minda sedar serta perasaan takut pada apa yang akan terjadi. Selain itu, sensitiviti ketakutan yang tinggi pada isyarat yang mengancam diri pesakit dalah ciri teras kecelaruan kebimbangan. Individu yang mempunyai fobia akan melihat bahaya pada suasana yang mana orang lain melihatnya sebagai selamat. Sensitiviti ketakutan yang tinggi pada ancaman juga selalunya menyebabkan persepsi pada bahaya luaran diperbesar- besarkan.
Manakala, pemikiran yang tidak rasional juga menjadi penyebab kepada kecelaruan kebimbangan ini. Ahli teori kognitif mengaitkan kecelaruan obsesif- kompulsif dengan kecenderungan memperbesar- besarkan risiko negatif yang akan dialami oleh pesakit dan akibatnya individu itu akan membina kepercayaan yang tidak rasional seperti perfectionistic. Oleh kerana pesakit obsesif- kompulsif merasakan seolah- olah ada perkara buruk akan berlaku, dia akan melakukan serta mengulangi perbuatan yang dianggap boleh melindungi dirinya daripada menerima risiko negatif tersebut.
          Selain daripada itu juga, faktor biologikal juga merupakan punca- punca yang menimbulkan kebimbangan. Di dalam faktor biologikal terdapat beberapa lagi faktor seperti neurobiologi. Kajian mengenai otak bagi menemui mekanisme neurobiologikal yang akan menjadi asas reaksi kebimbangan yang sangat luas. Kerosakan otak yang disebabkan oleh berbagai- bagai perkara seperti kesukaran semasa bersalin, encephalitis dan trauma otak. Faktor kedua dalam neurobiologikal ialah genetik. Kajian genetik mendapati sesetengah orang mewarisi sifat sistem saraf automatik, ini menyebabkan mereka mudah dalam keadaan kebimbangan seperti terlalu responsif, reaktif dan terlalu beremosi. Dalam kata lain, individu ini mudah berasa bimbang tetapi sikap mudah ini tidak akan diketahui tanpa tekanan yang cukup keatasnya. Terdapat bukti yang menunjukkan apa yang kita pelajari ini sedikit sebanyak dikawal oleh biologi yang kita warisi.

 4.0    DIAGNOSIS ASAS ATAU TUJUAN RAWATAN
Terma diagnosis asas digunakan apabila seseorang itu sesudah dikaji ia menerima rawatan secara berpusat di bawah seliaan. Diagnosis asas ini merupakan penyebab utama sesudah dikaji yang menyebabkan seseorang itu hadir untuk menerima rawatan. Istilah tujuan rawatan pula digunakan apabila diagnosis diberikan kepada seseorang itu dalam suasana sebagai pesakit luar.
Dalam kebanyakan kes diagnosis asas atau tujuan rawatan menjadi fokus utama rawatan. Zahirnya adalah agak sukar untuk membezakan antara dianosis asas dengan tujuan rawatan, terutamanya apabila wujud situasi kedua-dua diagnosis digunakan. Contohnya, apabila seseorang itu dimasukkan ke wad rawatan disebabkan skizofrenia dan toksikasi amphetamine. Kedua-dua diagnosis memainkan peranan yang sama penting dalam kewujudan keperluan rawatan.

PENILAIAN PELBAGAI PAKSI DALAM DSM IV-TR
Penilaian pelbagai paksi melibatkan penilaian ke atas beberapa paksi yang setiap satunya mewakili kumpulan maklumat atau data yang berbeza yang mungkin dapat membantu perwat mernacang rawatan dan menjangkakan keputusan atau hasilnya. Terdapat lima paksi dalam klasifikasi pelbagai paksi DSM IV-TR. Penggunaan sistem pelbagai paksi ini membolehkan penilaian menyeluruh dan sistematik dengan memperluas aras tumpuan kepada pelbagai kecelaruan mental dan gangguan fizikal (Ramli, 1990), masalah psikososial dan persekitaran, serta aras fungsi yang mungkin diabaikan sekiranya tumpuan hanya terfokus kepada satu masalah yang jelas kelihatan. Di samping itu, penggunaan sisteem pelbagai paksi juga menggalakkan aplikasi pendekatan bioppsikososial dalam arena klinikal, pendidikan dan penyelidikan.
Paksi-1 ,merupakan Kecelaruan Klinikal atau keadaan lain yang mingkin menjadi focus perhatian klinikal. Kod V digunakan bagi sesuatu yang berlaku yang tidak disebakan oleh gangguan mental tetapi menjadi fokus dan juga rawatan. Paksi-1 melaporkan keseluruhan kecelaruan atau gangguan dalam klasifikasi kecuali kecelaruan personaliti dan kerencatan mental. Sekiranya terdapat lebih daripada satu kecelaruan Paksi-1 yang jelas kelihatan maka diagnosis asas atau tujuan rawatan harus dinyatakan terlebih dahulu. Sekiranya wujud kecelaruan daripada kedua-dua paksi iaitu Paksi-1 dan Paksi-2 maka diagnosis asas atau tujuan rawtan akan disenaraikan sebagai Paksi-1 melainkan diagnosis Paksi-2 diiringi dengan frasa diagnosi asas atau tujuan rawatan. Jika tiada kecelaruan Paksi-1 maka kod yang harus dipakai ialah V71.09 dan sekiranya ada kecelaruan Paksi-1 yang kelihatan tetapi memerlukan pemeriksaan lanjut maka kod yang digukan adalah 799.9.
Paksi-2 melaporkan kecelaruan personaliti dan kerencatan mental. Paksi-2 juga boleh digunakan untuk mengkaji simptom personaliti maladaptif yang jelas dan juga mekanisma kawalan. Pertimbangan sewajarnya harus diberikan kepada kemungkinan kehadiran kecelaruan personaliti dan kerencatan mental melalui suatu paksi yang khusus untuk kecelaruan personaliti dan kerencatan mental.
Paksi-3 melaporkan tentang keadaan kesihatan atau fizikal yang mungkin relevan kepada pemahaman atau pengurusan kecelaruan mental seseorang.
Paksi-4 merupakan masalah psikososial dan persekitaran yang mungkin mempengaruhi diagnosis, rawatan dna prognosis kecelaruan mental terkandung dalam Paksi-1 dan Paksi-2. Masalah psikososial dan persekitaran mungkin boleh terdiri daripada peristiwa negatif dalam hidup, masalah persekitaran, tekanan keluarga atau hubungan interpersonal dan kekurangan sokongan sosial atau sumber peribadi.
Paksi-5 melaporkan pendirian ahli klinikal terhadap tahap kebolehfungsian seseorang secara menyeluruh. Maklumat ini penting untuk merancang rawatan dan mengukur kesannya serta menjangkakan keputusan atau hasilnya. Paksi ini menilai fungsi semasa dan juga tahap fungsi terbaik dalam satu tahun. Kod yang digunakan adalah dari angka 1 hingga 100. Misalnya seseorang yang tidak mengalami simptom atau hanya mengalami simptom yang minimum dan dapat berfungsi dengan baik kodnya adalah antara 81 hingga 100. Manakala seseorang yang sentiasa meletakkan dirinya atau orang lain dalam keadaan berbahaya kodnya adalah 1 hingga 10.
DSM IV-TR BERDASARKAN KAJIAN KES
Pada Paksi-1 John Williams dilaporkan mengalami Kecelaruan Kebimbangan Umum atau Generalized Anxiety Disorder, GAD. Antara simptom-sipmtom yang boleh mengkategorikan John Williams mengalami kecelaruan ini adalah kebimbangan yang berlebihan di mana John Williams bimbang terhadap pencapaiannya dalam setiap penglibatannya di dalam pelbagai bidang. John Williams bimbang tidak dapat memenuhi segala pengharapan yang tinggi yang diletakkan terhadapnya oleh keluarganya terutama sekali daripada ayahnya. Ayahnya mengharapkan John Williams memperolehi kejayaan yang cemerlang di dalam pelajaran dan dalam bidang yang lain.
Selain daripada itu, semasa John Williams sudah berkahwin, dia juga mengalami kebimbangan yang berlebihan ekoran daripada pengharapan yang terbaik daripada isterinya dari aspek kejayaan dalam hidup dan juga aspek kesihatan. Maka, John Williams terpaksa menjadi yang terbaik di mata isterinya.

Di samping itu, John Williams juga mengalami kebimbangan yang berlebihan terhadap hubungan psikososial. Kebimbangan tersebut jelas kelihatan semasa dia berada di Kolej Harvard seperti mana yang terdapat di dalam sejarah sosialnya. Manakala simptom-simptom fizikal yang jelas kelihatan pada John Williams adalah dia sering mengalami pening kepala, keletihan dan juga cepat marah. Dia sering mengalami sakit kepala sejak dia berada di universiti lagi di mana dia sering mengambil pil aspirin untuk melegakan sakit kepalanya itu.
Manakala pada Paksi-2 iaitu kecelaruan personaliti atau dan kerencatan mental didapati John Williams tidak mengalami kedua-dua permasalahan tersebut. John Williams tidak mengalami masalah kecelaruan personaliti dan kerencatan mental yang mana dapat dilihat dengan jelas bahawa keadaan personaliti dan mental John Williams dalam keadaan yang normal dan stabil.
Pada Paksi-3 pula iaitu keadaan kesihatan am John Williams didapati John Williams mengalami masalah tekanan darah tinggi iaitu pada tahap kedua iaitu 160/110. Sementara itu, John Williams sudah mengalami tekanan darah tinggi semasa dia mula-mula berkahwin dengan isterinya iaitu pada tahap tekanan darah tinggi tahap pertama iaitu 130/85. Tekanan darah adalah tekanan yang dikenakan terhadap pembuluh arteri semasa peredaran darah yang disebabkan oleh denyutan jantung. Tekanan darah mempunyai dua ukuran dan biasanya diukur seperti 120 /80 mmHg. Nombor atas (120) menunjukkan tekanan ke atas pembuluh arteri akibat denyutan jantung. Ianya dipanggil tekanan sistolik. Nombor bawah (80) menunjukkan tekanan semasa jantung berehat di antara pengepaman. Ia dipanggil tekanan diastolik. Masa yang paling baik untuk mengukur tekanan darah adalah semasa anda rehat dan dalam keadaan duduk atau baring.






Bacaan Tekanan Darah.
Kategori Tekanan Darah Tinggi
Tekanan Darah Systolic (Angka bacaan di atas) mmHg
Tekanan Darah Diastolic (Angka bacaan di bawah) mmHg
Normal
< 120
< 80
Pra Hypertensi
120- 139
80 - 89
Hypertensi/Tekanan Darah Tinggi Peringkat 1
140 - 159
90 - 99
Hypertensi/Tekanan Darah Tinggi Peringkat 2
> 160
> 100

          Manakala Paksi-4 pula merupakan masalah psikososial dan persekitaran. Merujuk kepada kajian kes, didapati John Williams mengalami dua punca tekanan iaitu tekanan draipada keluarga dan tekanan daripada persekitaran iaitu hubungan psikososial John Williams. Melalui tekanna keluarga, John Williams mendapat tekanan daripada ayah dan juga isterinya yang mana terlalu mengharapkan yang terbaik daripada John Williams. Ayahnya menginginkan John Williams menjadi yang terbaik di dalam akademik dan juga dalam bidang yang lain. Selain itu, ayahnya mengharapkan John Williams menjadi peguam yang berjaya seperti mana dia yang mana juga dapat membuktikan bahawa kaum kulit hitam juga mampu berjaya di dalam kelompok majoriti kaum kulit putih. Sementara itu, isterinya juga mengharapkan yang sempurna dan terbaik daripada John Williams dalam pelbagai aspek. Ekoran daripada itu, John Williams terpaksa sentiasa menjadi yang terbaik dan sempurna di mata isteri dan ayahnya.
          Manakala tekanan daripada persekitaran pula dilihat dari sudut hubungan psikososial John Williams di mana dilihat dengan jelas bahawa John Williams mengalami masalah perbezaan kaum. Semasa di Kolej Harvard, John Williams merupakan satu-satunya pelajar kulit hitam yang dikira berjaya dengan cemerlang di bumi kaum kulit putih. Pada masa tersebut dilihat John Williams mempunyai tahap kecurigaan yang tinggi terhadap pelajar kulit putih dalam penerimaan mereka kepada pelajar kulit hitam seperti dia. John melihat mereka terlalu mendiskriminasi pelajar kulit hitam kecuali dia disebabkan faktor kejayaan yang diperolehi John dalam akademik dan bidang lain. Kecurigaan dan kebencian John Williams terhadap kaum kulit putih berterusan sehingga dia berjaya mendapat pekerjaan yang terkemuka di bumi kaum kulit putih. Peristiwa yang menambahkan lagi kebencian John terhadap kaum kulit putih adalah diskriminasi yang dilakukan oleh kaum tersebut di Vietnam yang mana John ingin membantu tetapi terpaksa memikirkan kerjaya yang telah dia pilih menghalang dia daripada memberi bantuan.
Paksi yang terakhir iaitu Paksi-5 yang mana melaporkan penilaian fungsi menyeluruh, GAF. Merujuk kepada kajian kes, John William mengalami GAD (kodnya adalah 300.02). Sejak dia memasuki kolej Har iaitu kebimbangan terhadap pengharapan yang terlalu tinggi yang diletakkan terhadapnya dan perhubungan sosialnya. Kemudian, John William  mengalami GAD semula pada usianya 40 tahun ekoran daripada ketidakpuashatian terhadap diskriminasi yang dilakukan oleh kaum kulit putih terhadap kaum yang lain. John didapati mengalami simptom-simptom yang minimum dan tidak membahayakan dirinya sendiri dan orang lain. Maka kod GAF bagi kes permasalahan John Williams ini adalah 51-60 iaitu mempunyai simptom-simptom pada tahap sederhana dan kesukaran di dalam perhubungan psikososialnya.

5.0     RAWATAN
Masalah Generalized Anxiety Disorder (GAD) boleh dirawat dengan pelbagai cara antaranya penggunaan ubat-ubatan dalam pendekatan atau terapi biologi iaitu penggunaan ubat Anti-kemurungan (Anti-depressant) dan Benzodiazapines. Selain itu, terapi kognitif, pendekatan psikologikal dan terapi psikoterapi juga digunakan dalam rawatan tersebut. 
Pendekatan atau terapi biologi merupakan rawatan yang diberikan kepada pesakit yang bertujuan untuk mengurangkan atau menghapuskan simptom-simptom kecelaruan psikologi dengan cara mengubah cara tubuh badan berfungsi (Kaplan dan Saddock, 2003). Terapi biologi adalah melibatkan penggunaan ubat-ubatan tertentu iaitu penggunaan terapi elektokonvulsif (TEK) dan psikosurgeri. Penggunaan ubat-ubatan untuk merawat kecelaruan dikatakan lebih berkesan berbanding dengan kaedah psikoterapi. Walau bagaimanapun, untuk mendapatkan keberkesanan pengambilan ubat-ubatan tersebut mestilah dimbil secara berterusan untuk suatu tempoh masa yang mencukupi seperti yang dicadangkan oleh psikiatri. Penggunaan ubat dengan dos yang terlalu rendah atau tempoh pengambilan yang singkat akan mendedahkan pesakit kepada risiko dan kegagalan terapi tersebut.
Ubat-ubatan (dadah) yang digunakan dalam terapi biologi unutk merawat masalah GAD ialah  Anti-kemurungan atau Anti-depressant dan Benzodiazapines. Anti-kemurungan atau Anti-depresant adalah digunakan untuk membangkitkan mood seseorang yang mengalami kemurungan. Pesakit yang mangambil ubat ini didapati menjadi lebih gembira dan ceria. Walau bagaimanapun, penggunaan ubat ini juga akan menberikan kesan negatif kepada pesakit. Ia akan mengakibatkan pesakit mengalami kerosakan pada hati.
Penggunaan ubat Anti-kemurungan terdiri daripada dua jenis iaitu manoamine oxidase (MAO) perencat dan trisiklik. MAO perencat bertindak meningkatkan tahap interaksi neuron-neuron dalam otak. MAO merupakan sejenis cecair pada otak yang bertindak melemahkan kadar interaksi neuron dan meningkatkan kadar interaksi serta dapat memperbaiki mood pesakit GAD. Ubat jenis ini tidak memberikan sebarang kesan kepada individu normal. Manakala ubat-ubatan trisiklik akan memberikan sedikit kesan sampingan selepas penggunaan ubat tersebut antaranya ialah kekeliruan, pertambahan berat badan dan kadar perpeluhan yang meningkat. Ubat-ubat ini dapat memberikan kesan penyembuhan yang panjang berbanding dengan ubat lain. Sekiranya ubat-ubatan ini tidak memberi kesan yang diharapkan maka pesakit adalah digalakkan untuk menjalani rawatan TEK.
Rawatan TEK dikenali sebagai terapi kejutan. Terapi tersebut bertindak mengaktifkan neuron-neuron tertentu dalam otak. Kekerapan terapi ini akan menyebabkan kemerosotan daya ingatan. Selain itu, pesakit juga akan mengalami sakit kepala, merasa keliru dan racauan (delirium) selepas menjalani rawatan tersebut. Penggunaan rawatan TEK ini tidak boleh dilakukan kepada pesakit yang menghidap masalah jangkitan pari-paru, penyakit jantung atau demam yang kuat.
Penggunaan ubat jenis Benzodiazapines akan bertindak kepada system saraf. Selain itu, ubat tersebut juga sangat berkesan sebagai enzim penenang kepada pesakit GAD. Apabila pesakit telah mengambil ubat tersebut, ia akan memberikan kesan kepada pesakit iaitu pesakit akan merasa mengantuk dan kabur penglihatannya. Walau bagaimanapun, kesan penenang ubat tersebut tidak dapat bertahan lama dan pesakit akan mula bergantung kepada ubat tersebut apabila mengalami rasa takut dan bimbang walaupun sedikit. Keadaan tersebut akan menyebabkan ketagihan dan boleh membawa maut sekiranya pesakit turut mengambil alkohol pada masa yang sama. 
Terapi kognitif merupakan terapi yang mana pesakit akan diminta untuk mengenal pasti dan memperbetulkan kepercayaan yang salah. Ahli terapi juga akan membantu pesakit mempelajari aliran pemikiran yang logik di dalam mindanya. Pendekatan aliran tingkah laku juga menekankan penggunaan teknik yang hampir sama dengan pendekatan pembelajaran. Cuma ia menggabungkan teknik pendekatan pembelajaran dengan teknik terapi kognitif bagi mendapatkan hasil yang lebih berkesan. Pendekatan pembelajaran merupakan teknik yang menggunakan pelbagai teknik yang ditujukan khas bagi membantu pesakit mengahadapi sesuatu perkara atau situasi yang mendatangkan kebimbangannya.
Pendekatan psikologikal merupakan pendekatan yang digunakan untuk membantu pesakit supaya berkeadaan tenang ketika menghadapi sesuatu perkara. Pendekatan ini mempunyai manfaat yang hampir sama dengan pengunaan dadah dalam merawat masalah kecelaruan GAD. Tetapi pendekatan ini adalah lebih baik berbanding penggunaan dadah. Ini kerana pendekatan tersebut menunjukkan keputusan yang baik pada jangka masa yang panjang. Pendekatan ini mengajar pesakit bagaimana untuk tenang dan mengatasi tekanan yang dihadapi. Dalam pendekatan ini juga, pesakit akan diminta membuat renungan atau meditasi.
Teknik psikoterapi merupakan bentuk rawatan perbualan yang menghasilkan gerak balas terapi. Selain itu, teknik psikoterapi juga mengabungkan antara teori psikoanalisis dengan teori pembelajaran. Melalui teknik ini ahli terapi hendaklah mengenal pasti pemindahan dengan segera dan menganalisisnya. Pemindahan tersebut mestilah dihubungkan dengan hubungan antara pesakit dengan ibu bapanya.
Teknik terapi kemanusiaan merupakan antara beberapa bentuk psikoterapi. Terapi ini lebih dikenali sebagai terapi berpusatkan klien. Teknik ini tidak bertujuan untuk memahami konflik dalaman pesakit tetapi bertanggungjawab untuk memotivasikan pesakit supaya mencapai perkembangan kendiri. Ini kerana konsep kendiri dan personaliti seseorang amat mempengaruhi tingkah laku seseorang dan cara ia bersosial. Selain itu juga ia menekankan kewujudan manusia dan bagaimana ia mempersepsikan realiti di sekelilingnya serta pemerimaannya kepada kehidupannya sebagai suatu fenomena.


6.0     KESIMPULAN
Secara kesimpulannya, kebimbangan yang berlebihan boleh mendatangkan banyak kesan negatif kepada seseorang yang mana kesan yang paling jelas kelihatan adalah pada masalah tahap kesihatan seseorang. Sekiranya individu tersebut mengalami kecelaruan kebimbangan umum, secara automatiknya individu tersebut akan mengalami masalah tekanan darah tinggi. Sekiranya masalah tekanan darah tinggi ini tidak dikurangkan atau diatasi dengan segera khususnya tekanan darah tinggi peringkat kedua, maka individu tersebut berkemungkinan mendapat komplikasi tertentu.
Tekanan darah yang tinggi akan mengakibatkan bebanan kepada organ-organ dalam badan dan boleh menyebabkan kerosakan. Di antara komplikasi atau kesan akibat penyakit tekanan darah tinggi adalah seperti komplikasi pada otak yang mana merangkumi serangan stroke atau stroke ringan dan sementara (Transient Ischaemic Attack), penyakit jantung seperti Coronary Heart Disease, Congestive Heart Failure dan Left Ventricular Hypertrophy, komplikasi pada mata seperti perdarahan dan kerosakan kepada kawasan yang sensitif dalam mata dan keadaan yang dikenali sebagai Hypertensive Retinopathy, komplikasi pada buah pinggang iaitu kegagalan fungsi buah pinggang (paras serum kreatinin tinggi, Microalbuminuria, Proteinuria) serta Peripheral vascular Disease seperti Aneurysm dan kehilangan satu atau lebih denyut nadi.
Oleh demikian, rawatan yang betul dan berkesan harus diberikan kepada pesakit GAD seperti John agar beliau dapat menjalani kehidupan beliau dengan lebih baik tanpa merisaukan atau membimbangkan pelbagai perkara secara keterlaluan sehingga mengganggu perjalanan sosial dan hidupnya.





RUJUKAN
Ab Alim Abdul Rahim, (1994). Pengantar Psikologi Bilazim. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Azizi Yahaya, Cathy Suhaila Abdullah, Roslee Ahmad & Sharifuddin Ismail. (2005). Punca dan
rawatan kecelaruan tingkah laku. Selangor: PTS Professional.
Azizi Yahaya & Jamaludin Ramli. (2007). Psikologi Abnormal. UTM, Johor: Pencetakan Info
          Meditasi.
Barlow, D. H. & Durand, V. M. (2004). Abnormal Psychology: An Integrative Approach. (5th Edition). Canada: Wadsworth Cengage Learning.
Karen Huffman. (2007). Psychology In Action (8th Edition). USA: John Wiley & Sons, Inc.

Ma’rof Redzuan & Haslinda Abdullah. (2002). Psikologi. Universiti Putra Malaysia: McGraw-Hill.
Midwest Behavioral Health Network. (2009, September). Guidelines to Use of Axis V: Global Assessment Functioning Scale. Diakses pada September 14, 2009 daripada pautan http://www.newavenuesonline.com/provider/forms/getpdf.aspx?id=45
National Institutes of Health. (t. thn.). Anxiety Disorder. Diakses pada September 14, 2009 daripada pautan http://www.nimh.nih.gov/health/publications/anxiety-disorders/complete-index.shtml#pub7
Wikimedia Foundation. (t. thn.). Generalized Anaxiety Disorder. Diakses pada September 17, 2009 daripada pautan http://en.wikipedia.org/wiki/anaxietydisorder
Wikimedia Foundation. (t. thn.). DSM-IV Codes. Diakses pada September 17, 2009 daripada pautan  http://en.wikipedia.org/wiki/DSM-IV_Codes

Tiada ulasan:

Catat Ulasan